Kesalahan Umum Tatabahasa Bahasa Melayu
Introduction
This was a Malay common grammatical errors document that I compiled when I was preparing for SPM examination (roughly 15 years ago). I still remember that Kamus Dewan published by Dewan Bahasa dan Pustaka is one of the highly cited reference by my Malay language teacher.
NOTE: The remainder of this post is written in Malay language, you may choose to skip this post and click here to learn about English grammar..
Kata Nama Am dan Kata Nama Khas
Semua kata nama am ditulis dengan huruf kecil kecuali di pangkal ayat.
- adik saya tidak pergi ke sekolah hari ini kerana sakit. (seharusnya: Adik)
Huruf pertama semua kata nama khas ditulis dengan huruf besar.
- Mereka akan mengunjungi Negeri Melaka hujung minggu ini. (seharusnya: negeri)
- Semua pelajar darjah enam akan menduduki ujian penilaian sekolah rendah pada bulan hadapan. (seharusnya: Ujian Penilaian Sekolah Rendah)
Kata Ganti Nama
Aku tidak boleh digunakan dalam suasana yang rasmi atau semasa bercakap dengan orang yang baru dikenali dan orang yang lebih tua daripada kita.
Kami tidak termasuk pendengar manakala kita termasuk pendengar.
- “Kami haruslah memberikan hadiah kepada guru-guru kami sempena Hari Guru nanti,” kata Jia Cheng kepada kawan-kawan sekelasnya. (seharusnya: kita)
- “Kita hendak pergi ke tandas sekarang,” kata budak-budak itu kepada Cikgu Man. (seharusnya: Kami)
Apabila kanak-kanak bercakap dengan orang dewasa, kamu tidak boleh digunakan, sebaliknya kata seperti cikgu, pak cik, tuan, encik dan sebagainya hendaklah digunakan.
- “Apakah minat kamu?” tanya Li Shan kepada Encik Lee. (seharusnya: encik)
Beliau hanya digunakan untuk orang yang kita hormati seperti ibu bapa, guru, pemimpin dan sebagainya. Kata beliau tidak boleh digunakan untuk orang yang telah melakukan kesalahan.
- Beliau ditangkap kerana mengedarkan dadah. (seharusnya: Dia)
- Dia disanjung oleh masyarakat kerana jasanya yang begitu besar. (seharusnya: Beliau)
Awak, engkau dan kamu boleh diikuti oleh kata bilangan jika orang yang diajak bercakap lebih daripada seorang.
- Misalnya: awak semua dan kamu berdua.
Semua kata ganti nama tidak boleh digandakan.
- Mereka-mereka yang tidak hadir ke sekolah akan dikenakan tindakan displin. (seharusnya: Mereka)
Kata ganti nama singkat perlu dieja bercantum dengan kata yang disertainya.
- Baju mu akan saya pulangkan secepat mungkin. (seharusnya: Bajumu)
- Akan ku siapkan kerja tersebut secepat mungkin. (seharusnya: kusiapkan)
Kata ganti nama ia dan –nya tidak boleh digabungkan menjadi ianya.
- Anjing itu mati kerana ianya dilanggar lori. (perkataan ianya tidak perlu hadir)
Kata Kerja Transitif
Semua kata kerja transitif memerlukan objek. Ayat akan menjadi tergantung jika tidak mempunyai objek selepas kata kerja transitif.
- Tong Wei menulis kepada kawannya. (objek seperti surat perlu diisikan di antara menulis dan kepada.)
Selain beberapa perkataan seperti makan, minum, duduk dan tidur, semua kata kerja transitif mesti mempunyai imbuhan.
- Dia suka baca buku. (seharusnya: membaca)
- Ahmad tendang bola. (seharusnya: menendang)
Antara kata kerja transitif dengan objek tidak boleh disisipkan sebarang perkataan seperti lagi, hanya, kembali, semula dan sebagainya.
- Cikgu Lim menyuruh murid-muridnya menulis semula karangan mereka. (seharusnya: menulis karangan mereka semula)
Jika sesuatu kata kerja transitif mempunyai makna saling, maka perkataan saling tidak diperlukan.
- Mereka saling tolong-menolong untuk menyelesaikan projek tersebut. (seharusnya: saling menolong atau tolong-menolong)
Kata kerja transitif yang berapitan meN-...-kan dan meN-...-i mempunyai pelbagai jenis makna dan mesti digunakan dengan berhati-hati.
- Dia memberikan saya sebatang pen. (seharusnya: memberi)
- Hakim menjatuhkan orang itu hukuman mati. (seharusnya: menjatuhi)
- Mat mendekatkan lembaga itu. (seharusnya: mendekati)
- Cikgu mengajar kami Bahasa Melayu. (seharusnya: mengajarkan)
Hanya ada empat kata kerja transitif yang berimbuhan apitan memper-...-i, iaitu memperingati, memperkawani, mempersuami dan memperisteri. Sehubungan itu, kata kerja yang lain yang menggunakan imbuhan apitan memper-...-i adalah salah dari segi imbuhan.
- Abang sedang memperbaiki radio yang rosak itu. (seharusnya: membaiki)
- Banyak manfaat yang akan kita perolehi melalui membaca. (seharusnya: peroleh)
Kata Kerja Tak Transitif
Kata kerja tak transitif yang berapitan ber-...-kan atau meN-...-kan tidak boleh diikuti dengan kata sendi nama kerana imbuhan akhiran –kan merupakan kependekan kata sendi nama yang dapat mewakili kata sendi nama seperti dengan, tentang dan pada.
Kata kerja tak transitif yang berimbuhan awalan ber- mesti diikuti dengan kata sendi nama.
- Murid-murid disuruh menjawab soalan pemahaman berdasarkan kepada petikan. (perkataan kepada tidak boleh hadir)
- Ayah sedang menceritakan tentang kisah lamanya kepada kita. (seharusnya: bercerita tentang atau menceritakan)
- Petikan membincangkan tentang kebaikan amalan berjimat cermat. (seharusnya: membincangkan atau berbincang tentang)
Kata Adjektif
Kata adjektif perasaan mesti diikuti dengan kata sendi nama sama ada akan atau kepada (merujuk kepada manusia sahaja).
- Saya tidak lupakan peristiwa itu. (seharusnya: lupa akan)
- Saya suka kepada kucing. (seharusnya: suka akan)
Kata adjektif yang mempunyai imbuhan memper- tidak boleh ditambahkan dengan partikel -kan.
- Dia akan memperbesarkan rumahnya. (seharusnya: memperbesar atau membesarkan)
Apabila kata adjektif digandakan, maka kata nama yang diterangkan oleh kata adjektif tersebut tidak perlu digandakan untuk menunjukkan maksud jamak.
- Pokok-pokok kelapa itu tinggi-tinggi belaka. (hanya salah satu daripada perkataan yang dicondongkan boleh digandakan)
Kata ganda semu seperti kanak-kanak, biri-biri, agar-agar, anting-anting, gula-gula, anai-anai, kupu-kupu, labah-labah, rama-rama, orang-orang dan kura-kura adalah terkecuali daripada hukuman di atas.
- Kanak-kanak yang bermain di padang itu comel-comel belaka. (tiada kesalahan dalam ayat ini)
Kata adjektif yang berimbuhan se- adalah sama dengan kata adjektif + dengan.
- Abang setinggi dengan bapa. (seharusnya: setinggi atau sama tinggi dengan)
Kata adjektif baru digunakan untuk merujuk masa manakala kata adjektif baharu pula merujuk kepada sesuatu yang bukan lama.
- Baju baru yang dibeli oleh ayah sungguh cantik. (seharusnya: baharu)
- Saya baharu tiba di Klang. (seharusnya: baru)
Kata Hubung
Selain mempunyai makna dan, serta juga digunakan untuk menyatakan makna keadaan serentak.
Kata sendi nama ke tidak boleh wujud sesudah sampai, hingga atau sehingga.
- Mereka menunggu Ali hingga ke petang. (perkataan ke tidak boleh hadir)
- Mereka berlatih drama hingga ke malam. (perkataan ke tidak boleh hadir)
Makin...makin atau semakin...semakin tidak boleh ditulis sebagai semakin...makin atau kian...makin.
- Wang yang disimpannya semakin hari makin banyak. (seharusnya: semakin hari semakin banyak atau makin hari makin banyak)
Apabila ialah kata hubung manakala bila ialah kata tanya. Oleh itu, apabila tidak boleh diganti dengan bila dan sebaliknya.
- Aziz tersenyum bila melihat telatah anak manja itu. (seharusnya: apabila)
- Mereka tiba di KLIA apabila? (seharusnya: bila)
Perkataan kerana ialah kata hubung manakala sebab ialah kata nama. Perkataan sebab dapat berfungsi sebagai kata hubung jika didahului oleh perkataan oleh dan menjadi oleh sebab.
- Ali tidak dapat hadir ke sekolah sebab ibunya sakit. (seharusnya: oleh sebab atau kerana)
Ketiadaan tetapi juga atau namun bagi kata hubung berpasangan sungguhpun...tetapi juga atau walaupun...namun tidak akan menjejaskan maksud ayat.
- Walaupun Ina tidur lewat, dia tetap nampak cergas dan bersemangat membuat kerja. (sama maksud dengan walaupun Ina tidur lewat, tetapi dia tetap nampak cergas dan bersemangat membuat kerja)
Kata Seru
Tanda koma (,) diletakkan selepas kata seru manakala tanda seru (!) diletakkan di akhir ayat.
- Syabas! Kamu sudah berjaya! (seharusnya: Syabas,)
- Aduh, sakitnya kepalaku. (seharusnya: kepalaku!)
Kata Tanya
Jika kata tanya diletakkan di pangkal ayat, maka mestilah disertai partikel –kah.
- Mengapa kamu menangis? (seharusnya: Mengapakah)
Jika kata tanya diletakkan di hujung ayat, maka partikel –kah tidak diperlukan.
- Harga kasut itu berapakah? (seharusnya: berapa)
Dalam satu ayat tanya, tidak boleh mempunyai dua kata tanya yang berpartikel –kah. Sekiranya keadaan ini berlaku, partikel –kah bagi kata tanya yang pertama tidak diperlukan.
- Bilakah dan di manakah mereka bermesyuarat? (seharusnya: Bila)
Ayat tanya mesti diakhiri dengan tanda tanya (?).
- Peperiksaan PMR akan bermula bila. (seharusnya: ?)
Kata Perintah
Kata kerja sesudah kata perintah tidak boleh menerima sebarang imbuhan awalan.
- Jangan menulis sehingga amalan diberi. (seharusnya: tulis)
- Tolong membuang sampah. (seharusnya: buang)
Awalan meN- dan Ber- bagi kata kerja perlu digugurkan dalam ayat perintah.
- Memadamkan lampu sebelum keluar. (seharusnya: Padamkan)
Oleh sebab ayat perintah ditujukan kepada diri orang kedua, maka kata ganti nama diri kedua seperti awak, kamu dan engkau tidak perlu wujud dalam ayat.
- Awak tolong tutup pintu itu. (perkataan yang dihitamkan tidak perlu wujud dalam ayat)
Kata Bantu
Boleh membawa makna keizinan, tiada halangan manakala dapat bererti keupayaan, sanggup. Kedua-duanya perlu dibezakan.
- Dia tidak boleh menyelesaikan masalah itu. (seharusnya: dapat)
- Hanya Man dapat masuk ke bilik Aman. (seharusnya: boleh)
Kata Penguat
Kata penguat hadapan (paling dan imbuhan ter-) mesti diletakkan di depan kata adjektif.
- Dia tinggi paling di dalam kelasnya. (seharusnya: paling tinggi)
Kata penguat hadapan tidak boleh hadir bersama dengan kata penguat akhiran.
- Rumah Kamal paling besar sekali. (sama ada paling besar atau besar sekali)
Kata adjektif yang berawalan ter- tidak boleh didahului oleh kata penguat paling atau diikuti oleh kata penguat sekali atau nian. Hal ini demikian kerana awalan ter- telah mempunyai makna paling. Hukum di atas terkecuali untuk beberapa perkataan seperti terkenal, termasyhur, tersohor, ternama dan sebagainya.
- Wei Binglah budak yang paling tergemuk di kelasnya. (sama ada paling gemuk atau tergemuk)
- Gunung yang tertinggi sekali di Malaysia ialah Gunung Kinabalu. (seharusnya: tertinggi)
- Mei Ling merupakan perempuan yang tercantik sekali di dalam kelas itu. (seharusnya: tercantik)
- Pak Ali merupakan seorang jutawan yang terkenal sekali di kampung itu. (tiada kesalahan)
Kata penguat belakang (sekali dan nian) mesti diletakkan di belakang kata adjektif.
Kedudukan untuk kata penguat bebas (sangat, sungguh dan amat) adalah bebas (sama ada di hadapan atau di belakang kata adjektif).
- Adik saya pandai sangat. (sama maksud dengan adik saya sangat pandai)
Sangat dan amat boleh hadir bersama dengan imbuhan ter-.
- Dia terlalu amat gembira apabila mengetahui abangnya akan balik dari luar negara. (sama ada terlalu gembira atau amat gembira atau teramat gembira)
Amat, sangat dan sungguh boleh digunakan bersama dengan sekali dalam ayat
- Dia sangat cantik sekali. (tiada kesalahan)
- Masakan emak amat enak sekali. (tiada kesalahan)
Sangat dan sungguh boleh digandakan.
- Dia sungguh-sungguh pandai. (tiada kesalahan)
- Dia amat-amat pandai. (seharusnya: amat atau teramat)
Kata Penegas
Sahaja dan hanya adalah sama maksud. Maka, hanya salah satu boleh digunakan dalam ayat.
- Hanya Li Shan seorang sahaja yang lulus dalam peperiksaan itu. (Hanya salah satu daripada perkataan yang dicondongkan boleh hadir dalam ayat)
Apabila pun membawa makna juga, maka mesti ditulis terpisah daripada kata yang mengikutinya.
- Jika ada masa, sayapun hendak pergi ke tempat itu. (seharusnya: saya pun)
- Walau pun dia pandai, tetapi dia sangat-sangat malas. (seharusnya: Walaupun)
Kata Nafi
Bukan digunakan di hadapan frasa nama dan frasa sendi nama, manakala tidak digunakan di hadapan frasa kerja dan frasa adjektif.
- Dia tidak pemain bola. (seharusnya: bukan)
- Hadiah itu tidak untuk saya. (seharusnya: bukan)
- Saya bukan tidur semalam. (seharusnya: tidak)
- Dia bukan memakai kasut. (seharusnya: tidak)
- Pembahagian harta pusaka bapanya bukan adil. (seharusnya: tidak)
Sekiranya kedua-dua frasa dalam ayat mempunyai makna pertentangan maklumat, maka bukan boleh digunakan di hadapan frasa kerja dan frasa adjektif.
- Murid itu bukan cerdik sangat tetapi sangat rajin. (tiada kesalahan)
Tak ialah singkatan bagi tidak dan hanya digunakan dalam lisan. Walau bagaimanapun, tak boleh wujud dalam keadaan frasa seperti di bawah:
- Acuh tak acuh
- Bena tak bena
- Endah tak endah
- Tak kenal maka tak cinta
Kata Pemeri
Perkataan ialah merupakan kata pemeri yang digunakan di hadapan kata nama. Perkataan adalah pula ialah kata pemeri yang digunakan di hadapan kata adjektif dan kata sendi nama.
- Pegawai itu adalah adik kepada Menteri Besar. (seharusnya: ialah)
- Rumahnya ialah besar. (seharusnya: adalah)
- Hadiah ini ialah untuk Anuar. (seharusnya: adalah)
- Pendatang haram itu ialah dari Indonesia. (seharusnya: adalah)
Adalah tidak boleh hadir di depan kata kerja.
- Adalah diberitahu bahawa mesyuarat PIBG akan ditangguhkan kepada minggu hadapan. (seharusnya: Dengan ini)
Adalah atau ialah tidak boleh hadir di depan perkataan merupakan.
- Alvin ialah merupakan pelajar yang terpandai di dalam kelasnya. (hanya salah satu perkataan yang dicondongkan boleh hadir)
Kata Arah
Kata arah biasanya digunakan sebelum frasa nama dan sesudah kata sendi nama.
- Ali meletakkan buku latihan itu atas meja. (perkataan di perlu diletakkan di antara itu dengan atas)
Di dalam membawa makna tempat yang mempunyai ruang atau jarak manakala dalam pula menunjukkan tempat yang tidak mempunyai ruang atau jarak.
- Bapanya mati di dalam satu kemalangan. (seharusnya: dalam)
- Dia sedang berehat dalam bilik tidurnya. (perkataan di perlu diletakkan di antara berehat dengan dalam)
Kata Sendi Nama
Sebagai kata yang merangkaikan frasa nama dengan kata adjektif yang menyatakan perasaan atau sikap dan kata kerja tak transitif, kata sendi tidak boleh dilenyapkan.
- Rani suka durian. (perkataan akan perlu diletakkan di antara suka dengan durian)
- Kami lalu jalan itu supaya cepat sampai. (perkataan di perlu diletakkan di antara lalu dengan jalan)
Kata sendi nama tentang boleh digantikan dengan perkataan mengenai tetapi adalah tidak digalakkan.
- Datuk suka bercerita megenai masa lampaunya. (tiada kesalahan)
Dalam Bahasa Melayu, tidak ada perkataan oleh kerana. Hal ini demikian kerana oleh sebagai kata sendi nama perlu diikuti dengan kata nama. Kerana ialah kata hubung manakala sebab ialah kata nama. Oleh itu, kata yang mengikuti kata sendi nama oleh ialah sebab dan bukannya kerana.
- Pertunjukan itu dibatalkan oleh kerana tidak mendapat kelulusan. (seharusnya: sebab)
Kata sendi nama tidak boleh digunakan secara berturut-turut.
- Mereka tinggal di kawasan itu sejak dari kecil. (salah satu perkataan yang dicondongkan boleh hadir)
- Dia bekerja keras demi untuk kebahagiaan keluarganya. (salah satu perkataan yang dicondongkan boleh hadir)
- Selain daripada dia, tiada orang yang dapat menjawab soalan itu. (seharusnya: selain)
Dalam dan antara menyatakan sesuatu tempat yang tidak mempunyai ruang manakala di dalam dan di antara pula menyatakan sesuatu tempat yang mempunyai ruang.
- Peristiwa sedih itu selalu bermain-main di dalam fikirannya. (seharusnya: dalam)
- Tidak ada banyak perbezaan di antara anak kembar itu. (seharusnya: antara)
- Dalam sungai itu ada buaya. (seharusnya: Di dalam)
- Hasnah duduk mencelah antara Afiq dengan Edwin. (seharusnya: di antara)
Sama ada antara atau di antara, kata sendi yang mengikutinya ialah dengan dan bukannya dan.
- Antara ilmu perubatan dan ilmu biologi ada persamaanya. (seharusnya: dengan)
Sekiranya kata sendi nama di atau ke terletak di hadapan kata arah atau tempat, maka kata di atau ke juga perlu diulangkan selepas perkataan dan atau atau.
- Kamu hendak jalan ke kanan atau kiri. (perkataan ke perlu hadir di antara atau dengan kiri)
Kata kerja yang berimbuhan ber- perlu diikuti dengan kata sendi nama.(sila rujuk kepada aspek kesalahan Kata Kerja Tak Transitif).
- Saya berdoa dia dapat cepat sembuh. (perkataan agar perlu diletakkan selepas berdoa)
Kata kerja yang berimbuhan ber-...-kan atau meN-...-kan tidak perlu diikuti dengan kata sendi nama. (sila rujuk kepada aspek kesalahan Kata Kerja Tak Transitif).
Kata Bilangan
Semua kata bilangan tentu perlu diikuti oleh penjodoh bilangan.
- Tiga pelajar itu telah menyertai pertandingan piano. (penjodoh bilangan orang perlu diletakkan selepas tiga)
Selain beberapa, semua kata bilangan tak tentu tidak perlu digunakan bersama dengan penjodoh bilangan.
- Semua ekor anak kucing itu telah mati. (perkataan yang dicondongkan tidak boleh hadir)
- Beberapa pelajar telah didenda oleh guru displin. (orang perlu diletakkan selepas beberapa)
Semua kata bilangan yang tidak boleh dibilang tidak boleh diikuti dengan penjodoh bilangan.
- Saya mempunyai sebuah pendapat yang baik dalam menjayakan rancangan itu. (seharusnya: satu)
- Saya sedang menulis sebuah karangan. (perkataan yang dicondongkan tidak boleh hadir)
Para sudah menunjukkan maksud jamak, oleh itu tidak boleh digandakan.
- Para-para peserta sedang berbaris. (seharusnya: Para)
- Para guru-guru sedang menanda kedatangan. (seharusnya: Para guru atau Guru-guru)
Para juga tidak boleh digunakan untuk orang yang melakukan kesalahan atau orang yang taraf sosialnya rendah
- Para budak nakal itu telah didenda oleh guru besar. (seharusnya: Semua)
Berbagai-bagai juga bertulis sebagai pelbagai, tetapi tidak boleh ditulis sebagai berbagai.
- Berbagai makanan dijual di restoran itu. (seharusnya: Berbagai-bagai atau Pelbagai)
Setengah-setengah adalah sama dengan sesetengah dan tidak boleh ditulis sebagai setengah atau setengah-tengah.
- Setengah orang tidak suka akan durian. (seharusnya sesetengah atau setengah-setengah)
Ramai tidak boleh digunakan sebagai kata bilangan untuk orang. Hal ini demikian kerana ramai berkaitan dengan keadaan atau suasana yang riuh-rendah. Justeru, kata bilangan untuk orang yang betul ialah banyak.
- Ramai orang tidak setuju dengan keputusan itu. (seharusnya: Banyak)
- Ramai orang membeli-belah di Jalan Tuanku Abdul Rahman pada musim raya. (tiada kesalahan dalam ayat ini)
Semua kata bilangan himpunan mesti diulang.
- Kedua orang itu anggota polis. (seharusnya: Kedua-dua)
Setiap sama dengan tiap-tiap dan tidak boleh ditulis sebagai tiap.
- Tiap pelajar harus berdisplin. (seharusnya: Tiap-tiap atau Setiap)
Apabila kata bilangan tingkat ditulis dalam bentuk angka, maka tanda “-” mesti digunakan selepas awalan ke-.
- Dia mendapat tempat ke2 dalam pertandingan itu. (seharusnya: kedua atau ke-2)
Kata bilangan tentu seperti satu, dua, tiga dan seterusnya tidak boleh didekatkan sekali gus dengan kata bilangan pecahan.
- Sudah dua suku jam dia menunggu. (seharusnya: dua jam suku)
- Harganya tiga setengah ringgit. (seharusnya: tiga ringgit setengah)
Imbuhan Asing
Apabila kata yang mengikuti kata maha ialah kata nama, maka maha akan ditulis serangkai dengan kata dasar tersebut. Maha akan ditulis terpisah daripada kata dasar yang mengikutinya jika kata dasar tersebut ialah kata adjektif.
- Dialah maha guru kami. (seharusnya: mahaguru)
- Allah yang mahamulia telah mencucuri rambutnya ke atas makhluknya. (seharusnya: maha mulia)
Imbuhan asing seperti juru-, tata-, pra-, eka-, dwi-, panca- dan tri- perlu ditulis bersambung dengan kata dasar yang mengikutinya.
- Kakak membeli sebuah kamus dwi bahasa kepada saya. (seharusnya: dwibahasa)
- Juru acara itu mempunyai suara yang lantang. (seharusnya: Juruacara)
Jika kata yang mengikuti imbuhan asing anti- dan pro- ialah kata nama khas, maka tanda sempang (-) perlu diletakkan di antara kedua-dua patah perkataan tersebut dan sebaliknya jika bukan kata nama khas.
- Mereka yang antiJepun tidak mahu membeli barangan keluaran Jepun. (seharusnya: anti-Jepun)
- Kempen anti merokok peringkat daerah akan dilancarkan pada minggu hadapan. (seharusnya: antimerokok)
- Negara-negara yang pro Amerika menyokong tindakan Amerika menyerang Afghanistan. (seharusnya: pro-Amerika)
Kata Ganda
Semua kata ganda kecuali kata ganda separa perlu dieja dengan menggunakan tanda sempang (-).
- Janganlah kita caci mencaci antara satu sama lain. (seharusnya: caci-mencaci)
Kata nama yang tidak boleh dibilang tidak boleh digandakan.
- Asap-asap yang dibebaskan daripada rokok menjejaskan kesihatan kita. (seharusnya: Asap)
Dalam satu ayat, kata ganda tidak boleh ada kata bilangan yang membawa maksud jamak sekiranya kata ganda tersebut telah membawa maksud jamak.
- Semua kuih-muih yang enak itu disediakan untuk tetamu. (seharusnya: Semua kuih atau Kuih-muih)
Perkataan saling tidak perlu digunakan untuk kata kerja yang sudah digandakan.
- Penduduk di kampong Merah selalu saling tolong-menolong untuk melakukan kerja gotong-royong. (seharusnya: saling menolong atau tolong-menolong)
Kata adjektif bagi subjek yang sudah digandakan atau membawa maksud jamak tidak boleh digandakan kecuali untuk subjek yang merupakan kata ganda semu.
- Buku-buku itu mahal-mahal belaka. (hanya salah satu perkataan yang dicondongkan boleh digandakan)
- Semua anaknya pandai-pandai belaka. (Sekiranya semua digunakan, kata adjektif tidak boleh digandakan atau sebaliknya)
Kata Majmuk
Apabila kata majmuk digandakan, hanya unsur pertama akan digandakan.
- Alat tulis-alat tulis itu telah dijual. (seharusnya: Alat-alat tulis)
- Ibu bapa- ibu bapa diseru agar memberi perhatian terhadap kegiatan anak-anak. (seharusnya: Ibu-ibu bapa)
Apabila menulis kata majmuk yang mantap, perkataan tersebut tidak boleh dieja terpisah.Contoh kata majmuk yang mantap adalah seperti antarabangsa, beritahu, bumiputera, kakitangan, kerjasama, matahari, olahraga, pesuruhjaya, setiausaha, sukarela, suruhanjaya, tandatangan, tanggungjawab, ubahsuai dan warganegara.
- Azmir suka mengambil bahagian dalam acara olah raga apabila tiba Hari Sukan di sekolahnya. (seharusnya: olahraga)
Apabila kata majmuk yang sudah mantap digandakan, seluruh kata majmuk tersebut akan digandakan.
- Kaki-kakitangan syarikat itu sedang bercuti di Pulau Redang. (seharusnya: Kakitangan-kakitangan)
Apabila kata majmuk menerima imbuhan awalan atau akhiran, kata yang dihasilkan masih dieja terpisah.
- Mereka telah mengenalpasti punca kegagalan mereka. (seharusnya: mengenal pasti)
Apabila kata majmuk yang sudah mantap menerima imbuhan awalan atau akhiran, kata yang dihasilkan masih dieja bercantum.
- Rathenaraj memberi tahu saya bahawa dia telah menyiapkan karangan tersebut. (seharusnya: memberitahu)
- Orang kaya itu hendak mengubah suai rumah banglonya supaya menjadi lebih besar. (seharusnya: mengubahsuai)
Apabila kata majmuk menerima imbuhan apitan, kata yang dihasilkan akan dieja bercantum.
- Emak mencampur adukan semua bahan di dalam mangkuk. (seharusnya: mencampuradukan)
Hukum D-M
D – Unsur yang diterangkan
M – Unsur yang menerangkan unsur pertama
Maka, melalui hukum ini, dapatlah kita simpulkan bahawa kata adjektif biasanya perlu didahului dengan kata nama atau objek.
- Lain-lain masalah tidak dapat diselesaikan. (seharusnya: Masalah-masalah lain)
- Telur kuning banyak mengandungi lemak. (seharusnya: Kuning telur)
- Buku-buku di mini perpustakaan itu telah disusun oleh ibu. (seharusnya: perpustakaan mini)
- Pak Karim menternak enam ekor daging ayam. (seharusnya: ayam daging)
- Negara-negara Tenggara Asia mengalami masalah kekurangan bahan bakar. (seharusnya: Negara-negara Asia Tenggara)
Thank you
ReplyDelete